Dr M lancar Perodua Bezza edisi terhad di pameran auto

  • 5 years ago
Perodua melancarkan Perodua Bezza baharu Edisi Terhad di Pameran Auto Malaysia 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Menurutnya Bezza edisi khas itu berharga RM44,890 di atas jalan tanpa insurans dan terhad kepada 50 unit.

“Ia hanya boleh ditempah semasa acara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenderaan edisi terhad itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim hari ini bersempena pameran auto itu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Zahari Husin.

Zahari berkata berbanding Bezza 1.3 Premium X, Perodua Bezza Edisi Terhad menampilkan warna luaran Ivory White dan kit badan GearUp penuh kemasan hitam matte dikelilingi jalur merah, spoiler belakang hitam matte, bumbung hitam matte dan aloi kelabu gelap.

“Perodua Bezza Edisi Terhad ini memberikan gaya ‘sporty’ yang tersendiri. Dengan aksesori GearUp eksklusif ini, anda akan lebih menonjol berbanding kereta sedan piliihan lain di Malaysia,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2016, 145,000 unit Bezza telah dijual dan ia merupakan sedan pertama Perodua dengan bahagian atas badannya direka sendiri sepenuhnya. - Bernama