K'jaan tunggu apa lagi? - Abang Karuna Nithi tuntut penubuhan IPCMC

  • 5 years ago
Abang kepada mendiang P Karuna Nithi yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada 2013, menyertai perhimpunan untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di luar bangunan Parlimen hari ini.

“Saya mahukan keadilan.

“Saya mahu tindakan diambil terhadap polis,” kata P Elam Sezhian kepada pemberita selepas berhimpun bersama kira-kira 50 peserta yang lain tengah hari tadi.

Dia merupakan salah seorang daripada 10 wakil Gabungan Tuntut IPCMC untuk menyerahkan memorandum tuntutan mereka di Parlimen tadi.

“Kita akan lihat sama ada mereka akan ambil tindakan atau tidak. Saya tak puas hati dengan kerajaan baru kerana mereka juga sama saja seperti kerajaan terdahulu.

“Mereka nak tunggu apa lagi? Sekarang kita tunggu dan lihat,” kata Elam Shezian apabila ditanyakan tentang harapannya terhadap penubuhan IPCMC dalam masa terdekat.