Ahli perniagaan dituduh menipu RM19 juta

  • 5 years ago
Ahli perniagaan G Gnanaraja didakwa di mahkamah atas tuduhan memperdayakan pengarah urusan kontraktor utama projek terowong dasar laut Pulau Pinang sebanyak RM19 juta.

Dia dituduh memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak tiga kali pada 2017 untuk mempercayai bahawa dia mampu membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Zarul melalui hubungan politiknya.

Tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di depan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam tadi.

Gnanaraja yang bersut hitam dan berkemeja biru muda mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar dan Allan Suman Pilai manakala Gnanaraja diwakili peguam, Geethan Ram Vincent.
Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah esok serta dikehendaki hadir ke pejabat SPRM jika diperlukan berbuat demikian.

Hakim menetapkan 6 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan tarikh penyerahan dokumen.