Genting beli Equanimity RM514j

  • 5 years ago
Kapal layar mewah Equanimity dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang dikatakan mencecah RM1 bilion dijual kepada syarikat Genting Malaysia Bhd

Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Peguam Negara hari ini mengesahkan kapal equanimity telah dijual kepada Genting Malaysia Bhd ataupun syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) nya pada harga USD126 juta.

Menurut kenyataan itu lagi, Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada hari ini telah memberikan kelulusan untuk menerima, tawaran untuk membeli Equanimity daripada Genting atas Terma-terma dan Syarat-syarat Syerif.

Kata jabatan terbabit bayaran berkenaan akan dikeluarkan pihak Genting dan diterima mahkamah menjelang akhir April ini.

Dengan penjualan itu, ia bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan Malaysia dalam jangka masa 8 bulan dari tarikh tindakan itu dimulakan.

Jumlah USD126 juta itu ialah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, semenjak Oktober 2018, apabila Equanimity diumumkan untuk jualan, menurut kenyataan itu lagi.