Annuar Musa serang Jelutong dengan lagu 'Anak Tupai' pula
  • 5 years ago
Dari parlimen ke pentas ceramah Setiausaha Agung Umno Annuar Musa terus menjadikan anggota parlimen Jelutong, RSN Rayer sebagai sasaran serangannya.

Jika sebelum ini menggunakan pantun, Annuar dalam ceramah di Seremban malam tadi melagukan lagi dikir popular Anak Tupai yang diubah liriknya, seperti berikut:

“Ado sekor anok Jelutong, duduk daley dewey,
dio suko duduk laung tok ikut peraturey,
ambo maroh ambo balun, tapi dio tok pahey,
ambo bidah dengey pantun, dio koho gerey.”

Annuar dilapor berkata demikian oleh Umno Online dalam ceramah di Kampung Sendayan malam tadi.

Kedua-dua pihak sebelum ini bertengkar dalam parlimen selepas Annuar didakwa cuba melaga-lagakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang sekali lagi disebut-sebut sebagai bakal penggantinya.

Rayer bangun mendakwa Annuar melanggar peraturan dewan dengan membuat sangkaan jahat, sebelum dibalas dengan pantun pedas Annuar, seperti di bawah:


“Badan berbulu namanya lotong,
tidak berakal walau berotak;
tak malu ke bossku Jelutong,
nampak pandai tapi tak bijak.

“Kalau takut dilambung ombak,
jangan berumah di tepi pantai;
kalau tak mahu kena tempelak,
berfikir biar berhemah bertutur biar pandai.”

Dalam pertikaman lidah tiga hari lepas, pihak BN turut menuntut peruntukan sama dikenakan terhadap Rayer.

Speaker Mohamad Ariff Yusof bagaimanapun tidak melayan permintaan kedua-dua pihak.