'Kena tengking lumrah kerja ladang, kami dah biasa'
  • 5 years ago
Felcra Bhd berkongsi beberapa klip video dan gambar di Twitter rasmi sebagai respons kepada klip video yang memaparkan ketua pegawai operasi (COO) menengking pekerja yang tular di media sosial.

Salah satu klip video yang dikongsi Felcra memaparkan seorang kakitangan wanita yang dipercayai merupakan individu yang ditinggikan suara oleh COO Felcra Khairi Makmur.

Wanita berkenaan berkata, "tengking" sudah menjadi perkara lumrah bagi pekerja industri perladangan.

Wanita itu juga menjelaskan bahawa, Khairi meninggikan suara kerana mandur yang ditanya tentang penggunaan semula beg baja tersilap jawab.

Video itu dimuat naik pagi Selasa, sehari selepas klip video kejadian berkenaan dimuat naik pengguna Twitter @ladydarshankaur.

@ladydarshankaur memuat naik klip video itu dengan keterangan: "Akhlak seorang pemimpin yang baru 4 bulan dilantik menjadi Chief Operating Officer/Executive Officer Felcra Berhad. Inilah kualiti pemimpin lantikan Kerajaan Pakatan Harapan. Nilaikan sendiri."

Dalam klip video yang berlatarkan sebuah ladang sawit itu, Khairi dilihat menjelaskan tentang penggunaan semula beg baja, sebelum meninggikan suaranya.

Dalam kiriman Twitter lain, Felcra berkata kejadian itu berlaku dalam sesi latihan di ladang sempena Siri Kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang, 2 Mac lalu.

Felcra turut berkongsi klip video lain dan beberapa gambar memaparkan Khairi dalam pakaian sama menjelaskan sesuatu kepada pekerja menggunakan papan putih.

Klip video itu disertai keterangan: "Sisi sebenar COO dalam siri kembara sehari di FELCRA Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang, Sabtu lepas (2 mac 2019) Namun pada hari yang sama, satu slot video semasa sesi latihan di lapangan telah viral".

Siri kenyataan Twitter itu turut disertakan tanda #reinventingfelcra.

Felcra dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan ditubuhkan bagi membantu membangunkan kawasan pedalaman.