KM Melaka: Sebelum Amanah, PAS lebih lama berbaik dengan DAP

  • 5 years ago
Kerjasama yang dijalinkan PAS bersama DAP suatu ketika dulu tidak menjadikan parti terbabit alat DAP, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Dalam satu status di Facebooknya. Adly berkata keadaan itu berlaku ketika PAS bekerjasama dengan DAP jauh lebih lama berbanding Amanah ketika ini.

Adly yang juga pernah menjadi pemimpin PAS berkata demikian sebagai mengulas tuduhan dibuat parti terbabit kepada Amanah yang didakwa kini menjadi alat DAP.

Untuk rekod sebahagian besar pemimpin Amanah ialah bekas orang kuat PAS yang diketepikan kesan daripada krisis dalaman parti itu pada 2015.

Mereka kemudian menubuhkan Amanah dan bekerjasama dengan PKR, DAP serta Bersatu membentuk PH yang kemudian berjaya menawan Putrajaya.

PAS pula kekal sebagai pembangkang dan pengaruh mereka kini lebih tertumpu di Pantai Timur saja.

Tambah Adly lagi PAS giat memberikan persepsi buruk terhadap Amanah dengan menuduh parti berkenaan sebagai alat DAP.

Adun Bukit Katil itu menegaskan tujuannya ialah agar masyarakat membenci Amanah dan menjauhkan diri daripada parti berkenaan.

Menurut Adly lagi hubungan kerjasama di antara Amanah dengan parti lain dalam PH berlangsung atas prinsip mahu membebaskan negara daripada amalan rasuah yang diamalkan oleh BN.