Dari 'sungai teh tarik' jadi River of Life, Najib sorot legasi

  • 5 years ago
Di pinggir pertemuan antara antara Sungai Klang dan Sungai Gombak yang kini merupakan kawasan projek River of Life (ROL), bekas perdana menteri Najib Razak menyorot legasinya ketika menjadi perdana menteri Malaysia keenam.

Berkongsi rasa bangganya, Najib berkata ROL adalah cetusan idea sewaktu pentadbirannya yang menjadi tarikan baru pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan beliau meninjau perjalanan projek itu di Medan Pasar, di ibu negara bersama pengikut media sosialnya, semalam.

Najib juga menambah bahawa, berdasarkan bacaannya di internet beberapa hari lalu, ROL sudah disenarai antara 10 sungai terbaik di dunia.

Kerajaan BN melancarkan projek (ROL) bernilai RM4.4 bilion itu pada 2011 untuk mengubah kualiti air sungai utama di Lembah Klang daripada tahap tidak selamat kepada tahap selamat untuk kegunaan rekreasi.

ROL adalah Projek Permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur/Klang Valley, bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Gombak serta mengubahnya menjadi kawasan ekonomi dan komersial melalui pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.

Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan sepanjang 110 km yang meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.

Sebelum ini kerajaan PH mengumumkan untuk meneruskan projek ROL yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad pada Ogos lalu yakin projek itu akan dapat disiapkan mengikut jadual walaupun terdapat beberapa masalah pemasangan yang tergendala berkaitan jaringan kumbahan dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, semua kerja-kerja itu dapat diselesaikan pada tahun depan.

Sementara itu, kehadiran Najib pada tinjauan itu petang tadi di sambut kira-kira lebih 100 pengikutnya.

Najib meluangkan masa kira-kita lebih satu jam untuk meninjau kawasan berkenaan selain beramah mesra dengan pengikut-pengikutnya.

Orang ramai yang berada di kawasan itu juga turut mengambil peluang untuk merakam kenangan dengan bekas Presiden Umno.