Warga China jumlah tertinggi miliki rumah program MM2H

  • 6 years ago
Sebanyak 4,499 permohonan membeli rumah menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah diluluskan kepada warganegara asing sejak 2007 sehingga kini, Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah Baharuddin Shah berkata daripada jumlah itu, warga China merupakan pembeli hartanah tertinggi iaitu sebanyak 1,664 unit atau 37 peratus daripada jumlah pembeli di bawah program itu.

Beliau berkata ia diikuti warga United Kingdom dengan sebanyak 357 unit, Bangladesh (250 unit); Iran (217); Jepun (208); Pakistan (192); Singapura (175); Australia (147), Korea Selatan (127), Amerika Syarikat (115) dan negara-negara lain (1,047).

“Berdasarkan data Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula, sebanyak 106,197 isi rumah bukan warganegara memiliki unit rumah di seluruh negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu jumlah rumah yang dimiliki warga asing di negara ini mengikut kewarganegaraan.