Elak turun bala kerana LGBT seperti di Palu, kata Zahid
  • 6 years ago
Anggota parlimen Bagan Datuk berkata kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda bandar Palu di Sulawesi, Indonesia baru-baru ini berpunca daripada pembabitan sesetengah orang dalam aktiviti lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT).

Kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akibat perbuatan mereka itu - didakwanya seramai kira-kira 1,000 orang - telah menyebabkan kemurkaan Allah.

Mengaitkannya dengan situasi di Malaysia Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata kejadian gempa bumi di kawasan tersebut adalah petanda bahawa Allah menurunkan hukuman-Nya.

"Menurut data yang dikeluarkan oleh LGBT International Intersex Association, melalui laporan state-sponsored homophonia pada Apr 2018 mendapati secara rasmi ada 74 negara telah menolak LGBT.

"Kita lihat situasi di Malaysia (berhubung isu LGBT) turut mengkhuatirkan, di mana kita tahu kejadian di Palu baru-baru ini apabila ada gempa bumi dan tsunami.

"Dikhabarkan terdapat lebih daripada seribu di kalangan mereka terlibat dalam aktiviti yang berkenaan, akibatnya seluruh kawasan diranapkan, ini adalah hukuman Allah," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof semasa sesi soal jawab.