Keluar Umno, tanding Bebas di Port Dickson - Isa

  • 6 years ago
Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan bahawa beliau telah keluar daripada Umno dua hari lalu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt ini.

Beliau berkata tindakan keluar daripada parti itu bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi sebaliknya keinginannya untuk menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu susulan tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Port Dickson malam tadi.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar dan Mohd Isa, PAS turut mengumumkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di samping calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas yang juga personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17, 710 undi mengalahkan calon BN, Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Recommended