Tular: Kanak-kanak didera, diugut potong kemaluan

  • 6 years ago
Sebuah rakaman video yang memaparkan kanak-kanak berusia lapan tahun dikenakan hukuman tidak masuk akal oleh dua guru pusat jagaan kanak-kanak tular di media sosial.

Klip video berdurasi satu minit 19 saat itu memaparkan guru tersebut menarik kemaluan seorang kanak-kanak sebelum diancam untuk dipotong dengan sebilah gunting pemotong rumput serta dicucuh pemetik api.

Malah, dua lagi klip video masing-masing berdurasi 25 saat dan 56 saat, turut memaparkan mangsa dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki tersebut kerana didakwa mencuri makanan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 7 malam dan disedari bapa mangsa berusia 25 tahun selepas rakaman video kejadian itu tersebar di media sosial yang kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata kedua-duanya yang berusia 43 dan 42 tahun serta dipanggil ‘bonda’ dan ‘walid’ tersebut ditahan 10 malam semalam di Kampung Selamat di Kuantan, selepas polis menerima laporan daripada bapa kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan.
-BERNAMA