Peguam Najib bantah kehadiran empat hakim

  • 6 years ago
Peguam Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Hafarizam Harun hari ini membantah kehadiran empat hakim yang akan membicarakan permohonan semakan kehakiman misfeasans Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai keputusan kes saman pejabat awam yang difailkan terhadap bekas perdana menteri itu.

Hafarizam membuat bantahan pada panel tujuh hakim yang diterajui oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Hakim lain yang turut dibatah oleh Hafarizam adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Ma'arop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.

Alasan yang diberikan oleh Hafarizam adalah kerana pelantikan empat hakim berkenaan termasuk Malanjum dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas cadangan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Atas sebab itu, Hafarizam memohon bahawa mereka untuk mengundurkan diri.

Dalam pada itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mahathir memohon penangguhan bagi membolehkan satu lagi pendengaran melibatkan isu yang sama berhubung definisi pegawai awam, diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohamed Haniff Khatri berkata, pendengaran itu adalah berkaitan permohonan kebenaran merayu oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua terhadap Najib berhubung isu dakwaan salah laku dalam pejabat awam, yang akan didengar pada 5 November depan.

Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara menangguhkan permohonan semakan dan menetapkannya didengar selepas permohonan Tony Pua diputuskan.

Pada 27 Februari 2018, anggota panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh ketua hakim negara ketika itu, Tun Md Raus Sharif menolak permohonan kebenaran rayuan saman misfeasans Dr Mahathir dan Khairuddin.

Ia selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pada 28 April 2016 bahawa Najib bukan pegawai awam.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bagi menolak kes saman tersebut.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang bersetuju bahawa Najib tidak boleh dianggap sebagai penjawat awam, dan saman RM2.642 bilion tidak mempunyai merit.

"Kami bersetuju dengan keputusan hakim (Mahkamah Tinggi). Tiada merit dalam rayuan itu. Kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi," kata Hakim Tan Sri Idrus Harun yang mengetuai panel berkenaan.

April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman misfeasans oleh Dr Mahathir.

Hakim Abu Bakar Jais memutuskan bahawa Najib, sebagai perdana menteri, bukan seorang penjawat awam.

Abu Bakar membuat keputusannya berdasarkan Akta Interpretasi, di mana perdana menteri, menteri-menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik tidak dianggap sebagai pegawai awam tetapi hanya sebagai anggota pentadbiran.