Himpunan foto-foto Malaysia #QuranHour daripada jurugambar Utusan Malaysia di seluruh negara.

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 19 Jun - Program satu jam bersama al-Quran, Malaysia #QuranHour di seluruh negara berlangsung hari ini dengan ribuan umat Islam membaca kitab suci tersebut selama satu jam sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

Program yang bermatlamatkan untuk mewujudkan gelombang umat Islam mengaji, memahami dan mengamalkan ajaran terkandung dalam al-Quran bermula di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai lokasi perdana Malaysia #QuranHour tahun ini.

Lebih 200 lokasi di seluruh negara termasuk di luar negara turut mengadakan bacaan al-Quran secara serentak sempena program tersebut.

Di Putrajaya, lebih 5,000 orang menyertai Malaysia #QuranHour yang turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) berkata, kempen ini merupakan acara tahunan dan ini merupakan kali ketiga program berkenaan dianjurkan.

“Malaysia #QuranHour pada kali ini bertemakan Bangsa Berbudi dan Penyayang mengambil isi rahmah di dalam Al-Quran, yang terdiri dari nilai kasih sayang, belas kasih, peri kemanusiaan dan kebaikan serta cinta adalah diharapkan akan lahir rakyat yang sayang negara dan negara yang sayang rakyat kerana Allah SWT,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Layari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) untuk mendapatkan lebih banyak informasi menarik dan berita terkini.