Kelas berasaskan mata pelajaran tingkat kemahiran komunikasi pelajar

  • 6 tahun lalu
Layari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) untuk mendapatkan lebih banyak informasi menarik dan berita terkini.JOHOR BAHRU 15 Mei - Program Kelas Berasaskan Mata Pelajaran di bawah Program Sekolah Amanah yang dijalankan di 82 buah sekolah di seluruh negara berjaya meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar di sekolah.

Program yang diwujudkan oleh LeapEd Services Sdn. Bhd. itu menyediakan kaedah terbaik kepada guru-guru dan pelajar dalam memastikan pelajar mencapai kemenjadian secara holistik dan bersedia dalam menghadapi pembelajaran abad ke-21 secara global.

Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 3, B.Shoba Devi berkata, sejak mempraktikkan Program Kelas Berasaskan Mata Pelajaran sejak empat tahun lalu melalui bimbingan LeapEd Sdn. Bhd., prestasi pelajar di sekolahnya khususnya dalam kemahiran berkomunikasi bertambah baik.

"Sekolah ini mempunyai 43 kelas yang berasaskan mata pelajaran iaitu pelajar perlu berpindah daripada satu kelas ke satu kelas mengikut mata pelajaran dan kami telah mempraktikkan program tersebut 100 peratus dan hasilnya pelajar semakin aktif semasa mengikuti sesi pembelajaran, tidak ada lagi pelajar yang tidur dan pasif di dalam kelas.

"Bagi pihak guru pula, kami 'rasa kepunyaan' di dalam bilik darjah kerana kami menjaga dengan baik bilik darjah dan semua sumber mata pelajaran ada di dalam kelas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 di sini semalam.

Menurut Shoba, apabila pelajar sentiasa bergerak dari satu kelas ke satu kelas yang lain, ia memberi impak positif dan pelajar merasakan umpama mereka itu berada di kolej.

"Ia kerana mereka sudah bersedia dari sekarang untuk menepati jadual waktu dan menepati masa," ujarnya.

Selain program tersebut, pihak LeapEd juga menekankan kepada guru supaya menggunakan kaedah pembezaan di dalam kelas.

"Ini kerana kebiasannya sekolah membezakan pelajar mengikut aras dan kita kategorikan mereka bermula kelas pertama dan seterusnya. Tetapi untuk Program Sekolah Amanah, kami dibimbing untuk membuat pembezaan di dalam bilik darjah.

"Contohnya terdapat 30 pelajar di dalam sebuah kelas, mereka ini terdiri daripada pelajar yang beraras tinggi, sederhana dan rendah dan kami dibimbing untuk menyediakan latihan mengikut kemampuan mereka daripada segi akademik dan minat," jelasnya.

Tambahnya, melalui kaedah tersebut, minat pelajar untuk belajar akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

LeapEd ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad bagi menyumbang transformasi pendidikan negara.

LeapEd adalah rakan strategik Kementerian Pendidikan dan Yayasan AMIR dalam melaksanakan pembangunan sekolah secara kolaborasi. - UTUSAN ONLINE