Noraniza Idris lancar single duet bersama Tyka

  • 6 tahun lalu
Ramai yang tertanya-tanya, ke manakah menghilangnya Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang tidak tampil dengan album ataupun single baharu. Walaupun tahun lepas, Noraniza mengakui ada melahirkan single baharu namun beliau tidak giat untuk mempromosikan single tersebut.

Berbeza dengan single duet Noraniza dengan seorang pendatang baharu dalam bidang seni suara, Tyka, single berjudul Wangikanlah Hatimu dilancarkan hari ini oleh Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah AlHaj.

Berkonsepkan etnik dan tradisional, Wangikanlah Hatimu ciptaan bersama Amir Jahari dan AGCoco dengan lirik dihasilkan oleh Ahmad Fedtri Yahaya/ menggabungkan elemen dikir barat, Siam dan Sunda.

Menurut Noraniza ketika ditemui usai majlis pelancaran dan sidang akhbar Wangikanlah Hatimu, bukan sahaja sentuhan komposer muda diperlukan demi mengangkat Irama Malaysia atau lagu-lagu berkonsepkan etnik untuk terus relevan dalam industri hiburan tanah air tetapi penerapan 'bunyi' muda perlu bagi menarik halwa telinga penggemar muzik generasi muda.

Persoalannya, apakah hasrat Ratu Irama Malaysia untuk terus memartababkan lagu-lagu etnik dan irama Malaysia boleh direalisasikan dan disambung oleh Tyka, anak didik Noraniza Idris? - UTUSAN ONLINE

Layari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) untuk mendapatkan lebih banyak informasi menarik dan berita terkini.