Larian Rimba Merapoh promosi keindahan alam semula jadi

  • 6 tahun lalu
Buat julung-julung kalinya, Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM) akan menganjurkan Larian Rimba Merapoh 2015 (MFR2015) Oktober ini.

Menjadikan alam semula jadi sebagai lokasi perlumbaan, MFR2015 bakal menyaksikan 1,000 peserta meredah laluan tar dan denai di Taman Negara Sungai Relau yang terletak di Merapoh, Pahang.

Presiden WSFFM, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, perlumbaan yang bakal diadakan 31 Oktober ini diharap menjadi platform dalam mendidik masyarakat menghargai alam sekitar terutama di Merapoh.

Merapoh yang merupakan 'perisai' dan pintu masuk ke Taman Negara Pahang dikenali dengan ratusan gua-gua yang belum diterokai dan amat unik.

Selain itu, laluan perlumbaan ini juga amat menarik kerana para peserta akan melalui denai yang dikelilingi alam semula jadi dan sungai-sungai tahap satu yang memiliki habitat dan spesies ikan sungai gred A.

Menurut Shariffa Sabrina, selain perlumbaan yang bersifat sukan, tiga faktor utama lain dititikberatkan dalam MFR2015 ialah pelancongan, pelancongan dan usaha menghargai alam sekitar.

"Usia Taman Negara Pahang yang sudah berusia melebihi 100 juta tahun lebih ini mampu memberikan satu keunikan kepada perlumbaan namun dalam masa yang sama, kami mahu mengeksploitasikan Merapoh sebagai destinasi ekopelancongan.

"Usaha pihak-pihak tertentu untuk menjadikan Merapoh sebagai 'lubuk' kilang simen ternyata satu perkara yang sepatutnya tidak dilakukan.

"Ini berikutan Merapoh menyimpan terlalu banyak khazanah negara yang terdiri daripada flora dan fauna ratusan juta tahun.

"Adakah hanya disebabkan wang ringgit kita mahu membiarkan khazanah negara berusia ratusan juta tahun musnah dalam sekelip mata?

"Jadi kita menganjurkan perlumbaan ini bertujuan untuk membolehkan orang ramai mengetahui kewujudan permata alam semula jadi di sini dan dapat mempromosikan kepada dunia luar," katanya.

Dalam pada itu, Shariffa Sabrina yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), turut merayu kepada kerajaan negeri Pahang untuk segera mewartakan kawasan Merapoh sebagai khazanah negara terutama gua-gua yang masih belum diterokai.

Tegas beliau, jika kerajaan negeri membiarkan kilang-kilang simen bermaharajalela di situ, kemusnahan kekal bakal terjadi dan generasi akan datang tidak akan dapat merasai keindahan alam semula jadi yang ada di Merapoh.

"Flora dan fauna yang ada ini adalah hak anak cucu kita. Kita bertanggungjawab ke atas hak mereka yang kita pinjam jadi kelestarian alam itu harus dipulihara," katanya.

Maklumat lanjut mengenai perlumbaan boleh menghubungi Arizal Rahman di 011-12249782, Yatie Shahrom (016-6084510) dan Betrina (012-3237111).