Angin perubahan berhembus kuat di Permatang Pauh

  • 6 tahun lalu
SEBERANG JAYA 5 Mei - Angin perubahan dirasakan berhembus kuat di Permatang Pauh menjelang hari pembuangan undi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu, Khamis ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suasana kini amat berbeza dengan PRK Permatang Pasir pada 2009 lalu, yang ketika itu beliau turut menjadi pengarah pilihan raya bagi Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, pada masa itu rakyat di Permatang Pauh begitu simpati dengan pemimpin parti yang dinaungi oleh calon berkenaan tetapi hari ini keadaan sudah berbeza.

"Kebanyakan mereka telah serik dengan retorik dan mereka rasa tidak puas hati (terhadap wakil rakyat). Mereka telah mrmbayar dengan harga yang mahal selama 17 tahun," kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Dr Junaidi Tuanku Jaafar, Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda dan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

Bagaimana pun Ahmad Zahid berharap hembusan perubahan itu dapat bertiup sehingga berakhirnya proses pembuangan undi, Khamis.

Katanya, BN sedar pihak lawan kini semakin agresif untuk meraih sokongan sehingga mereka sanggup melakukan provokasi dengan harapan BN akan dipersalahkan.

"Kita tak boleh cakap apa yang kita akan buat tapi kami tahu pihak lawan makin agresif. Kita tahu situasi. Kaedah kempen yang terbaik mesti dilakukan," katanya.

"Semua pihak mesti bertenang, terima hakikat bahawa kuasa rakyat adalah kuasa mutlak untuk memilih pemimpin ke Dewan Rakyat. Bukan tindakan agresif yang memberi kelebihan kepada mana-mana pihak," katanya. -UTUSAN ONLINE