Gagal kemuka manifesto bukti perjuangan PKR bukan untuk rakyat
  • 6 tahun lalu
SEBERANG PRAI 2 Mei - Kegagalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh sehingga kini membuktikan perjuangan parti itu bukan untuk rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, sebaliknya perjuangan PKR hanyalah berlandaskan emosi dan sentimen semata-mata, sekali gus menafikan hak pengundi Permatang Pauh.

"BN telah jelaskan manifestonya iaitu menyelesaikan masalah dan memperjuang nasib penduduk Permatang Pauh, sebaliknya PKR sehingga kini masih membisu tentang manifesto mereka," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bagi masjid, surau dan sekolah agama Permatang Pauh di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin. Hadir sama, calon Barisan Nasioan bagi PRK Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin.

Zainal Abidin berkata, manifesto BN yang dilancarkan dua hari lalu jelas menggariskan landasan perjuangan yang dijunjung iaitu mengutamakan pembangunan rakyat dan menaikkan taraf hidup mereka.

"Orang Permatang Pauh juga mahukan kemajuan. Jadi mereka perlu bagi isyarat kuat bahawa sudah sampai masanya mereka mahukan pemimpin yang boleh membawa mereka ke hadapan," tambah beliau.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Suhaimi; Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR); Salleh Isahak (Bebas); dan Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM). - UTUSAN ONLINE