Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal kesinambungan tradisi

  • 6 tahun lalu
KUALA KANGSAAR 7 Mei - Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal sempena Pertabalan Sultan Perak ke-35 yang bermula pada pukul 9.45 pagi tadi selamat disempurnakan kira-kira pada pukul 11.55 pagi hari ini.

Jawatankuasa Pelaksana Adat dan istiadat, Datuk Seri Wan Mohd. Fathir Wan Hussain berkata, sebanyak tujuh bot yang membawa anggota dan peralatan istiadat termasuk 16 Geluk Mas Perak berjaya mengambil air di tujuh kuala Sungai Perak.

"Kita selamat menjalankan salah satu istiadat berkaitan Pertabalan Sultan Perak ke-35. Kita bermula di kuala Sungai Kangsar dan berakhir di kuala Sungai Menora

"Tugas mengambil air ini diberikan kepada Tok Nara Diraja dan Pawang Diraja. Air ini akan digunakan dalam Istiadat Bersiram Tabal selepas Tabal Pusaka berlangsung di Istana Iskandariah malam ini," jelas Wan Mohd. Fathir.

Beliau berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim akan Bersiram Tabal menggunakan air tujuh muara tersebut di atas Panca Persada yang terletak di kawasan perkarangan Istana Iskandariah Bukit Chandan di sini.

Menurut Wan Mohd. Fathir, Bersiram Tabal merupakan salah satu adat dalam pertabalan Sultan Perak dan dikekalkan bagi memelihara tradisi yang diamalkan sejak sekian lama.

"Kita guna air di tujuh muara ini disebabkan pemerintahan Kesultanan Perak berpusat di Kuala Kangsar.

"Bandar Diraja ini ada tujuh muara sungai. Jadi kalau dulu Kesultanan Perak berpusat di Tanah Abang di Hilir Perak. Namun sekarang berpusat di sini jadi kita menggunakan air di tujuh kuala yang ada di sini," jelas Wan Mohd. Fathir.

Menurut beliau, istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal kini dipenuhi dengan ciri-ciri keIslaman dengan doa-doa dibaca bagi setiap upacara.- UTUSAN ONLINE