1,045 teksi tak guna meter, 272 teksi disita - SPAD

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 24 April - Tidak menggunakan meter merupakan kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh pemandu teksi sepanjang 116 operasi, yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).



Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi yang dilakukan sejak Januari lalu mengesan 1,459 kes melibatkan pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pemandu teksi.



"Daripada jumlah itu 1,045 kes melibatkan pemandu teksi tidak menggunakan meter teksi.



"Dalam tempoh yang sama kita turut menyita 272 buah teksi," kata Che Hasni kepada pemberita selepas meninjau 'Ops Tegas'.



Ops Tegas yang dijalankan hari ini bermula pukul 5 petang dan meliputi 23 lokasi sekitar Lembah Kelang termasuk Shah Alam, Klang, Bukit Bintang dan KL Sentral.



Operasi bagi mengesan pemandu teksi yang tidak menggunakan meter melibatkan 100 pegawai SPAD dan 4 anggota polis trafik.



"Dalam operasi ini, kita menyita 18 buah teksi dan satu kereta sapu kerana kesalahan tidak menggunakan meter.



"Jumlah ini adalah kecil dan kita percaya kesalahan tidak menggunakan meter semakin menurun," kata Che Hasni.



Menurut beliau teksi yang disita akan disimpan untuk siasatan lanjut di pusat penyimpanan SPAD di Bandar Enstek di Sepang, Selangor.



Teksi yang disita akan dipulangkan kepada pemilik selepas siasatan selesai, katanya.-UTUSAN ONLINE