PM akan umum Speaker Dewan Rakyat
  • 6 years ago
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan nama calon Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam waktu terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, mesyuarat pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan semalam telah sepakat memuktamadkan untuk menamakan hanya satu nama bagi jawatan itu.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang bahawa bahawa bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim akan dilantik menjadi speaker manakala timbalannya pula akan dipegang oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan.
Hannah bagaimanapun, baru-baru ini telah dinamakan sebagai timbalan menteri, wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat.

Rais dalam wawancaranya dengan Malaysiakini minggu lalu berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai speaker Dewan Rakyat sekiranya diberikan peluang.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak menerima sebarang surat daripada pihak kerajaan berhubung perkara itu.

Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah ketika disoal wartawan pada Ahad lalu, berkata jawatan akan dilantik di kalangan anggota Dewan Rakyat.