TRX : Penyelewengan dana oleh 1MDB tidak jejaskan keyakinan pelabur
  • 6 years ago
Dakwaan bahawa dana daripada Tun Razak City Sdn Bhd (TRXC) diselewengkan dalam skandal membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan menjejaskan imej TRX City sebagai pusat kewangan moden dan bersepadu di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat pada Isnin lepas dan beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

Malah, TRXC juga dalam proses perbincangan dengan beberapa pelabur antarabangsa bagi melabur dalam pembangunan bandar kewangan terbaharu itu, katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sempena sesi taklimat dan lawatan ke tapak pembangunan tersebut di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan pada Isnin lepas, TRXC berkata, kira-kira RM3 bilion daripada dana TRX yang bertujuan bagi pembangunan projek TRX dan Bandar Malaysia telah dipindahkan kepada 1MDB di bawah arahan 1MDB dari pertengahan 2012 sehingga awal 2017 dengan pemahaman bahawa jumlah itu akan dibayar balik kepada TRXC.

Fasa 1 TRX yang merangkumi Menara Exchange 106 dan Menara Prudential dijangka siap pada suku pertama tahun depan manakala keseluruhan projek pembangunan TRX yang membabitkan kawasan seluas 28.3 hektar akan siap pada 2024. - Bernama