KPKT rancang bina perumahan B40 di tapak Highland Towers
  • 6 years ago
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk membina projek perumahan bagi golongan B40 di tapak kondominium Highland Towers yang runtuh 25 tahun lepas, kata Menterinya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, bagaimanapun pembangunan tersebut hanya boleh dilaksanakan setelah tanah berkenaan diambil-alih dan segala isu berkaitan perundangan, tanah dan pembeli kondominium itu berjaya diselesaikan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan beliau di pejabatnya di sini, hari ini.

Jelasnya, selain KPKT, kementerian dan agensi yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan ialah Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Selangor, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Tambah Zuraida, tapak kondominium Highland Towers merupakan sebidang tanah premium di Kuala Lumpur yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.