Cari peguam bela yang baik, Anwar nasihat Najib

  • 6 years ago
Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd, akan dilakukan secara adil dan bebas.

Anwar meminta semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap bekas perdana menteri itu sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada Selasa ini bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.