Pengacara tersenyum Ultras Tunisia 'lolos' dan bakar suar ketika temubual

  • 6 years ago
Insiden membakar suar sememangnya sinonim dengan perlawanan bola sepak. Api merah suar menjadi tanda 'riang' atau 'marah' penyokong.

Di Malaysia juga isu suar ini sering bangkit menyulami prestasi skuad kebangsaan ketika hambar dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah didenda kerana insiden 'api merah' ini.

Satu rakaman penyokong bola sepak Tunisia berjaya membawa suar dan dibakar ketika temubual menjadi sensasi bola sepak ketika ini.

Di Tunisia suar juga dilarang tetapi setiap kali perlawanan bola ada saja kelibat 'api merah' ini. Oleh itu satu rancangan bual bicara bola telah menjemput dua Ultras untuk berbicara berkenaan hal ini.

Ketika ditanya pengacara bagaimana suar boleh lepas masuk ke stadium dua penyokong ini lantas memberikan aksi mereka.

"Sewaktu kami masuk ke sini tadi, stesen tv ini dikawal ketat oleh petugas keselamatan. Mereka ada di mana-mana dengan alat pengesan (detector) yang banyak".

Pengacara menganggukkan kepala tanda setuju dengan kenyataan itu.

Lantas penyokong yang berada di kiri pengacara mengeluarkan suar dan membakarnya sebelum yang di kanan turut melakukan perkara yang sama.

Tindakan kedua mereka adalah jawapan soalan awal pengacara bagaimana suar boleh dibawa masuk ke stadium biarpun kewalan ketat tersedia.

Pengacara itu hanya mampu tersenyum dengan aksi 'jawapan' kepada soalannya yang jelas sentiasa ada cara dibalik kawalan ketat yang boleh dimanipulasi oleh penyokong membawa suar ke stadium.