Penyokong kecewa kapten Perak ulangi kesilapan buat kali ketiga
  • 7 years ago
Kapten Perak Mohamad Shahrom Kalam sekali lagi melakukan kesilapan individu yang mengakibatkan Perak seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Ahad lalu.

Gagal menahan bola yang dihantar pihak lawan menyebabkan penyerang JDT Mohammad Ghaddar berjaya merampas bola dan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68 setelah Perak mendahului 1-0 pada minit ke-18.

Harian Metro melaporkan penyokong Perak yang mahu dikenali sebagai Meor berkata ini kali ketiga Shahrom melakukan kesilapan.

Sebelum ini Shahrom juga melakukan kesilapan yang menyebabkan Perak tewas kepada Selangor dan Felda United dalam saingan Liga Super.

"Kecuaiannya merugikan pasukan. Saya faham semua orang lakukan kesilapan tetapi akibatnya ditanggung oleh semua termasuk penyokong"

"Dia sepatutnya boleh tendang keluar bola itu atau tolak ke belakang kepada penjaga gol. Penyokong boleh faham jika pemain muda yang buat silap, tetapi dia seorang pemain kebangsaan," begitu kata Meor kepada Harian Metro.