Mahkamah putuskan Ting kekal ADUN Pujut

  • 7 years ago
Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memutuskan supaya dikembalikan semula status Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.

Dalam satu post Facebook oleh setiausaha DAP Sarawak Alan Ling hari ini, beliau berkata hakim memutuskan bahawa kehilangan kelayakan Ting tidak sah kerana pelbagai sebab.

Dewan Undangan Negeri Sarawak memutuskan pada 12 Mei lalu bahawa Ting telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kerana didakwa mempunyai kerakyatan Australia.

Ini bermakna pilihan raya DUN Pujut yang jadualkan pada 4 Julai tidak akan diadakan.

Bagaimanapun, BN Sarawak mungkin merayu keputusan mahkamah itu.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Douglas Primus Sikayun berkata bahawa perlembagaan jelas menyatakan bahawa jika mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, mereka perlu membuat satu petisyen pilihan raya kepada mahkamah.

Di samping itu, Dewan Undangan Negeri, kata hakim, tidak mempunyai sebarang kuasa yang dinyatakan untuk berurusan dengan keputusan pilihan raya dan bahawa ia bukan satu badan yang kompeten untuk membuat keputusan mengenai isu-isu perlembagaan, demikian menurut posting Ling.

Hakim juga menganugerahkan kos RM100,000 kepada Ting.

Ting telah memfailkan saman pemula dengan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuching pada 7 Jun, mencabar pemecatannya oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Ia selepas beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat Pujut selepas satu usul dibentang di Dewan Undangan Negeri pada 12 Mei untuk membatalkan kelayakannya kerana didakwa memperoleh suatu kewarganegaraan Australia pada tahun 2012.

Recommended