Tragedi runtuhan sampah di Sri Lanka, 32 terkorban

  • 7 years ago
Angka kematian akibat kejadian runtuhan sampah di Sri Lanka meningkat kepada 32 orang pada Rabu dengan lapan lagi masih hilang, lapor agensi berita China Xinhua.

Pusat Pengurusan Bencana berkata, operasi mencari dan menyelamat di tapak pelupusan sampah Meethotamulla masih diteruskan.

Dalam kejadian itu beberapa buah rumah tertimbus selepas timbunan sampah runtuh pada Jumaat.

Kebakaran juga berlaku di tempat kejadian dan Tentera Udara telah dikerahkan untuk memadamkan api.

Sejak beberapa bulan lalu, penduduk di kawasan berkenaan telah membantah dan menggesa pihak berkuasa memindahkan sampah ke lokasi lain.

Susulan tragedi, kerajaan mengumumkan tiada lagi lambakan sampah di Meethotamulla.

Timbalan Menteri Luar Harsha de Silva berkata, masalah runtuhan sampah itu berlaku akibat daripada masalah sejak beberapa dekad mungkin selama 20 tahun.

Beliau berkata, walaupun bayaran telah dibuat supaya penduduk berisiko di kawasan tanah runtuh untuk berpindah malangnya mereka tidak berbuat demikian.

Presiden Maithripala Sirisena mengarahkan para pegawai memberikan bantuan sebaik mungkin kepada penduduk yang terjejas.