Korea Utara lancar peluru berpandu balistik lagi
  • 7 years ago
Korea Utara pada Rabu melancarkan peluru berpandu balistiknya, dua hari sebelum sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping berlangsung, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

"Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke Laut Timur dari Sinpo di wilayah Hamgyong Selatan kira-kira 6.42 pagi," kata Ketua Turus Bersama(JCS) dalam kenyataan.

Peluru berpandu itu meluncur sejauh 60 kilometer, Korea Selatan dan AS sedang menganalisa maklumat tambahan, jenis peluru masih belum dapat dipastikan dengan tepat.

Namun, menurut Komander Pasifik AS, peluru itu dipercayai peluru berpandu balistik jarak sederhana jenis KN-15 juga dikenali Pukguksong-2.

Susulan itu, pejabat presiden Korea Selatan mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) bagi membincangkan tindakan provokasi Korea Utara.

Mesyuarat dipengerusikan Kim Kwan-jin penasihat keselamatan negara kepada Pemangku Presiden Hwang Kyo-han.

Hwang mengarahkan angkatan tentera Korea Selatan bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Tindakan Korea Utara dipercayai berkaitan dengan rancangan Trump untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Cina di Florida pada Khamis dan Jumaat (waktu tempatan) yang menjadikan isu Korea Utara antara agenda utama.

Dalam temu bual dengan akhbar Financial Times, Trump memberi amaran bahawa negaranya akan mengambil tindakan unilateral bagi menghapuskan ancaman Korea Utara kecuali China bertindak memainkan peranannya.

Dua minggu lepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu namun ia gagal.

Sebelum ini, pada Mac negara itu melancarkan empat peluru berpandu balistik, tiga daripadanya jatuh ke laut berhampiran Jepun.