SPRM: Tiada asas kesalahan Felda beli hotel di London

  • 9 years ago
Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui apa-apa asas kesalahan berhubung dakwaan penyelewengan oleh pihak pengurusan Felda berkaitan pembelian sebuah hotel mewah di London.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dalam jawapan bertulis berkata penyiasatan SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahan mengenai pembayaran RM538 juta oleh Felda Investment Corporation bagi membeli hotel mewah Grand Plaza Kensington Hotel di London.

Justeru, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat tambahan atau bukti-bukti kukuh berkaitan isu itu supaya menyalurkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

Low menjawab soalan Anthony Loke (DAP-Seremban) mengenai status siasatan terhadap pembelian hotel mewah itu yang didakwa membabitkan pengurusan Felda.